Wednesday, May 27, 2009

ASB Loan , Satu analisa dan pandangan sendiri...

Assalamualaikum……

Kebiasaannya bila saya buat simpanan ASB di kaunter bank, pegawai bank tu selalunya tanya “Encik, Tak nak apply ASB loan ke?” Saya selalu jawab, “Tak apa lah dulu biar saya simpan sendiri.” Yang sebenarnya saya rasa tak mampu nak servis loan lagi kerana cashflow baru saja jadi positif setelah pengstrukturan semula kewangan. Ambil loan baru bermakna nak masuk ke negetif cashflow semula dan mencekik leher sendiri.

Satu pekara lagi adalah kadar faedah ASB loan pada ketika itu pada saya agak tinggi. Beza antara kadar faedah ASB Loan dengan kadar dividend ASB rasanya amat sikit sangat. Margin pulangan adalah rendah jika dibandingkan dengan risiko yang perlu diambil.

Itu satu ketika lebih kurang setahun yang lalu... baru-baru nie setelah kadar BLR turun saya ada terjumpa brocure ASB loan dari RHB yang pada saya agak menarik perhatian

Kadar faedah 2 tahun petama fix pada 3.8%, 3 tahun berikutnya BLR-1.5% dan kemudiannya BLR-1.6%. Kalau kadar BLR sekarang iaitu 5.55%... bermakna seluruh kadar faedah loan ASB ini adalah dibawah 5%. Kalau dibandingkan dengan kadar divident ASB sebanyak 8% , bermakna boleh dapat untung 3%.

Berbaloikah ambil loan ini ? Adakah keuntungan yang nampak secara kasar sebanyak 3% itu, munasabah dengan risiko yang perlu kita ambil ?

Saya banyak surf internet mengenai ASB loan ini. Ada yang pro, ada yang kontra. Ada bermacam kaedah pengiraan dan simulasi membandingkan cara menggunakan ASB Loan dengan cara simpan sendiri. Ada yang kata ASB Loan lebih untung dan ada yang kata simpan sendiri lebih untung.

Apa pandangan anda ? Simpan sendiri lebih baik atau guna ASB loan ini ?.. Jawapannya.. terserah kepada anda sendiri. Setiap orang punya matlamat dan keperluan masing-masing. Mungkin lebih baik anda simpan sendiri dan mungkin bagi yang lain adalah lebih baik menggunakan ASB loan ini.

Izinkan saya kongsikan sedikit pandangan saya. ASB Loan ini hanyalah salah satu “alat” kewangan. Dah namanya alat kita mesti tahu macam mana untuk menggunakannya. Kalau silap cara penggunaaan sesuati alat itu mungkin akan makan tuan sendiri.

Robert Kiyosaki dan Azizi Ali ada menyatakan mengenai “Good Debt” dan “Bad Debt”. “Good Debt” adalah satu hutang yang kita ambil tetapi akan menambahkan aliran tunai kedalam poket kita manakala “Bad Debt” adalah hutang yang kita ambil tetapi hanya menyebabkan tunai keluar dari poket kita.

Untuk ASB loan ini saya telah melakukan analisa menggunakan “Property Investment Evaluation Spreadsheet” yang saya perolehi setelah subscribe kepada http://reijb.com . Satu website yang baik membincangkan teknik pelaburan hartanah dan maklumat hartanah di sekitar Johor Bahru. Excel Spreadsheet tersebut telah saya edit sedikit mengikut keselesaan saya.

Hasilnya adalah seperti berikut....

Dari brocure ASB Loan ini ada jadual bayaran bulanan. Dari jadual tersebut jika kita ambil 100K loan untuk tempoh 20 tahun bayaran bulanan adalah sebanyak RM609 sebulan. Menggunakan maklumat ini saya dapati kadar APR loan tersebut adalah 4.0572%... rasanya lebih rendah dari kadar loan kereta second hand.

Dalam pelaburan kita memerlukan modal. Untuk ASB loan ini, bayaran instalment selama setahun saya kira sebagai modal kerana ASB hanya membayar divident setahun sekali maka pada tahun pertama kita harus keluarkan wang dari poket sendiri. Dengan bayaran bulanan RM609 bermakna modal yang perlu adalah sebanyak 609 x 12 = RM 7308

Sekarang katakan divident ASB adalah konsisten sebanyak 8% setahun... Dengan Sijil 100k akan memberikan divident sebanyak RM8000 setahun ataupun RM666.67 sebulan. Saya lihat loan ini memberi positif cashflow sebanyak RM57.67 sebulan atau RM692.02 setahun. Cash-on-cash yield iaitu pulangan dari modal yang dilaburkan sebanyak 9.47%. Tinggi sedikit dari kadar divident ASB. Return of investment (ROI) ataupun pulangan modal akan kita perolehi semula dalam masa 10.56 tahun.

Dengan positif cashflow, bermakna installment untuk loan tersebut bagi tahun kedua dan seterusnya kita tak perlu bayar menggunakan wang poket sendiri tetapi dibayar dengan menggunakan wang divident ASB sendiri. Setelah tamat tempoh 20 tahun nant,i Sijil ASB bernilai 100K akan jadi milik kita sepenuhnya. Labur RM7308 dan 20 tahun kemudian kita dapat pulangan 100k atau pun lebih kurang 13.684 kali ganda.

Jika modal RM7308 tersebut kita masukkan dalam ASB dan biarkan keuntungannya dilaburkan semula selama 20 tahun iaitu dengan menggunakan compounding effect hasilnya adalah seperti dibawah....

Setelah 20 tahun nilai pelaburan sebanyak RM7308 akan menjadi RM 34062.27 iaitu lebih kurang 4.66 kali ganda.

Nampaknya melabur menggunakan ASB Loan ini memberi pulangan yang lebih tinggi tetapi harus juga kita fikirkan risikonya.

Risiko ASB Loan

High risk, High return... nak untung lebih kita mesti berani amik risiko yang lebih. Untuk ASB Loan nie ada beberapa risiko yang saya nampak

1. 1. Jika kadar BLR naik menyebabkan interest loan lebih tinggi dari divident ASB. Pelaburan ini mungkin menjadi negetive cashflow.

2. 2. Loan ini akan masuk rekod CCRIS kita menunjukkan kita banyak hutang. Mesti jadi great paymaster biar rekod CCRIS cantik.

3. 3. Harus bayar loan tiap bulan jika tidak akan dikenekan late payment penalty sebanyak 1% dari jumlah tertungak. Agak banyak jugak tu.

4. 4.Lock in Period selama 5 tahun. Paling kurang kita mesti maintain loan ini selama 5 tahun untuk mengelakan exit fee yang agak tinggi.

Dari web site RHB exit fee adalah seperti berikut

First 2 years: 3% of approved loan amount ie RM3000 jika loan sebanyak 100K

3rd to 5 year: 1% of approved loan amount ie RM1000 jika loan sebanyak 100K. However, No Exit fee if settled using own funds.

Fikirkanlah segala risiko sebelum menggunakan “alat ini”. Bagi saya segala risiko yang saya nyatakan di atas adalah di bawah kawalan diri kita sendiri kecuali risiko no 1. Bagi saya selagi pulangan divident ASB boleh membayar loan tersebut ia boleh diteruskan tetapi jika merugikan baiklah kita berhentikan. Take only Good Debt.

Ingin saya nyatakan, saya hanya berkongsi analisa dan pandangan sendiri mengenai ASB Loan ini. Bukannya menggalakkan anda memohannya. Ukur dengan kemampuan dan disiplin diri sendiri serta risikonya sebelum membuat keputusan menggunaan alat ini atau tidak.

Sekian semoga bermanfaat...

Abdul Hamid

http://rabtle.blogspot.com

27-May-2009

Friday, May 22, 2009

Diberhentikan... Pampasan dan Cukai....

Assalamualaikum……

Creative Commons Licensephoto credit: madebytess

Tinggal lagi lebih kurang 2 minggu lagi… dan setelah itu dengan secara rasminya aku akan bergelar penggangur. Tapi hanya buat seketika… Alhamdulillah dengan kehendak Allah aku akan menggangur hanya selama 2 minggu… setelah itu akan bergelar pekerja semula…

Walau dulu ada niat di hati tak ingin makan gaji lagi, hendak kerja sendiri, tapi nampaknya belum sampai masanya dan diri aku sendiri sebenarnya belum bersedia. Dalam masa sebulan sebagai separa penggangur ini juga ada kalanya aku terasa bosan kerana tak tahu apa yang hendak di buat. Segala tugasan yang ada telah diberikan kepada orang lain.. Aku sekarang hanya duduk "melanguk" menghabiskan sisa masa yang ada di dalam company mat salleh ini. Terasa juga tak berkat apa yang aku buat sekarang ini tapi memikirkan dari satu sudut yang lain mungkin ini adalah rezeki dari tuhan yang memberikan aku masa berfikir, merencana serta mengantur langkah yang panjang tapi penghujungnya telah pasti iaitu Akhirat.

Kelmarin syarikat telah menghantar surat untuk dipersembahkan kepada LHDN yang menyatakan sejumlah wang pampasan yang dipegang oleh syarikat. Syarikat perlu mendapatkan kelulusan dari LHDN untuk "release" wang tersebut kepada aku. Nampaknya ada saja "procedure" yang ditetapkan oleh kerajaan kalau pekara yang melibatkan duit nie.

Maka bergeraklah aku ke Pejabat LHDN Johor semalam yang bersebelahan dengan Plaza Angsana. Bangunan yang telah siap di"renovate" kelihatan canggih. Kalau dulu perlu naik ke tingkat 7 untuk urusan cukai kini segalanya kat tingkat bawah sahaja. Seperti dijangka ramai rakan senasib dari syarikat aku dah duduk menunggu no giliran masing-masing terpampang untuk mempersembahkan surat tersebut.

Pemberitahu di bawah seksyen 83(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 menyebut...

"Jika seorang majikan hampir memberhentikan daripada digaji seorang perseorangan yang kena atau harus dikenakan cukai tentang pendapatan, tentang keuntungan atau laba daripada pengajian, majikan hendaklah tidak lewat dari satu bulan sebelum pemberhentian itu, memberitahu dengan bertulis kepada Ketua Pengarah menyatakan nama penuh dan alamat orang perseorangan itu dan tarikh pemberhentian dijangka:

Tetapi jika, dia berpuas hati iaitu adalah munasabah berbuat demikian dalam keadaan itu. Ketua pengarah boleh menerima untuk seksyen kecil ini satu pemberitahuan diberi kurang daripada satu bulan sebelum pemberhentian itu atau sesudah penberhentian itu."

Kelebihan bekerja dengan syarikat yang besar adalah mereka akan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan maka aku tidak risau masalah sama ada papasan akan dibayar atau tidak. Segalanya akan mengikut "procedure".

Syarikat telah mengikut procedure... sebagai perseorangan juga harus mengikut procedure. Pegawai LHDN yang menyemak rekod cukai aku dan menyatakan tiada masalah kerana aku dengan konsisten telah mengantar maklumat cukai taksiran aku sejak dari tahun 2000 lagi.

Pada 10 Mac kerajaan telah mengumum bajet mini atau pakej rangsangan dan salah satu dari kandungannya adalah..."Bagi orang perseorangan yang kehilangan kerja selepas 1 July 2008 boleh menuntut pengecualian cukai sebanyak RM10000 untuk setiap tahun perkhidmatan. Aku telah bekerja selama 3 tahun disyarikat ini sebelum diberhentikan maka aku layak mendapat pengecualian cukai sebanyak RM30000. Jumlah pampasan yang akan aku terima tak sampai pun jumlah tersebut maka tanpa apa-apa masalah pengawai LHDN mengeluarkan surat menyatakan syarikat boleh memberi semua wang pampasan yang dipegang kepada aku... Alhamdulillah.

Itu cerita aku... tak ada masalah bab rekod cukai. Ada di antara kawan-kawan yang tak pernah "declare" taksiran cukai mereka dan ada juga yang tak "declare" beberapa tahun. Kalau keadaan begini tak ada pilihan terpaksa isi balik borang taksiran bagi tiap tahun yang tidak di hantar taksiran cukai tersebut... Selagi tak selesai selagi itulah LHDN tak akan keluarkan surat maka sebahagian wang pampasan yang dipegang oleh syarikat mungkin terpaksa di tahan..

Pada aku sebagai orang perseorangan kita ikut sajalah undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Jangan nak malas-malas nak hantar taksiran cukai setiap tahun. Kita tak tahu bila rekod cukai kita akan memberi kesan dalam kehidupan kita. Mungkin aku akan rasa menyesal dan kecewa kalau aku tak hantar taksiran cukai aku pada tahun-tahun yang lalu yang akan menyebabkan rezeki yang disediakan akan tersekat... Tetapi sekali lagi aku ucapkan Alhamdulillah kerana mempermudahkan urusan aku.

Itu hanya cerita hidup di dunia.. nak senang ikutlah procedure yang ditetapkan kerana ada rekod yang akan mempengaruhi kehidupan kita. Bagaimana kalau di akhirat nanti.

Renungi ayat-ayat ini....

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ [٣٩:٦٨]

Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (putusannya masing-masing). [Az-Zumar 39:68]

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا وَوُضِعَ الْكِتَابُ وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ وَقُضِيَ بَيْنَهُمْ بِالْحَقِّ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ [٣٩:٦٩]

Dan terang benderanglah bumi (padang mahsyar) dengan cahaya (keadilan) Tuhannya; dan diberikanlah buku (perhitungan perbuatan masing-masing) dan didatangkanlah para nabi dan saksi-saksi dan diberi keputusan di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dirugikan. [Az-Zumar 39:69]

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ [٣٩:٧٠]

Dan disempurnakan bagi tiap-tiap jiwa (balasan) apa yang telah dikerjakannya dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan. [Az-Zumar 39:70]

Kita akan ada rekod amalan masing-masing. Kalau dalam rekod itu tertulis kita hidup tak ikut procedure yang telah ditetapkan Allah apa agaknya akan jadi. Tak macam masalah cukai yang mungkin kita boleh isi semula rekod yang hilang…. Di akhirat nanti "there is no turning back".

Cantikkanlah rekod kita agar nanti kita tidak menyesal…… rezeki di akhirat adalah kekal abadi… renungkanlah

Sekadar perkongsian rasa… terima kasih kerana membaca…

Abdul Hamid

http://rabtle.blogspot.com

22-Mei-2009

Tuesday, April 28, 2009

Cukai, Zakat dan Rezeki...

Cukai, Zakat dan Rezeki…..

oleh

Abdul Hamid Mohamad

Jumaat yang lepas saya menerima sepucuk surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Rupanya LHDN memberikan saya cek bayaran balik cukai yang saya sudah terlebih bayar. Setiap bulan syarikat memotong gaji saya secara automatik untuk bayaran cukai ini. Tak sempat nak pegang duit tu kerajaan dah ambil dahulu. Walaubagaimanapun hati ini mengucapkan syukur pada Ilahi kerana mendapat rezeki ini.

Saya sebenarnya tidak menyangka akan menerima bayaran balik sebegini cepat. Tempoh untuk menghantar taksiran cukai 2008 bagi individu belum ditutup lagi tetapi nampaknya LHDN telah melaksanakan tugas mereka dengan baik. Saya menghantar taksiran cukai 2008 saya melalui e-filing pada 2 April, dan cek bayaran balik yang saya terima bertarikh 21 April. Bermakna LHDN mengambil masa hanya dua minggu untuk menyemak dan membuat bayaran balik bagi taksiran yang saya hantar. Tempoh waktu yang bagi saya amat pantas jika dikira jumlah rakyat Malaysia yang menghantar taksiran mereka.

PCB (Potongan Cukai Berjadual)

Pagi ini bila saya periksa akaun bank saya, Alhamdulillah gaji dah masuk. Ada lagi rezeki untuk isteri dan anak-anak. Tetapi terasa pelik sedikit kerana jumlah yang diterima kurang sedikit dari biasa. Bila saya semak dalam slip gaji rupa-rupanya PCB saya di potong lebih dari biasa. Atas sifat ingin tahu saya melayari web site LHDN dan nampaknya LHDN telah mengeluarkan jadual potongan PCB pindaan 2009. Mungkin pindaan tersebut berkuatkuasa bulan ini.

Dari pegalaman saya selama 10 tahun bekerja, kebiasaanya jumlah PCB yang dikenakan keatas kita adalah rendah sedikit dari jumlah cukai yang perlu dibayar smengikut taksiran cukai. Dengan sistem taksiran sendiri yang berkuatkuasa sekarang pembayar cukai boleh terus membayar cukai mereka ke akaun LHDN di CIMB bank. Jika LHDN boleh memulangkan semula wang cukai terlebih bayar saya dalam masa yang singkat begini, saya juga tidak ada masalah untuk membayar cukai jika perlu saya bayar.

Tetapi secara peribadi adalah lebih baik LHDN yang berhutang dengan saya dari saya yang berhutang dengan LHDN.

Zakat

Sebab utama saya mendapat bayaran balik cukai adalah kerana saya membayar zakat pendapatan. Umum semua tahu bahawa bayaran zakat boleh ditolak dari cukai. Kalau kita letak keutamaan antara undang-undang Allah dan undang-undang manusia tentunya undang-undang Allah yang lebih utama maka bagi saya adalah lebih penting membayar zakat dari membayar cukai.

Zakat adalah rukun Islam yang ketiga. Dalam Al-Quran banyak disebut.. "Dirikanlah Solat, dan keluarkanlah Zakat". Kewajipan dan perintah yang tak boleh kita pertikaikan.

Ketika menyiapkan taksiran cukai saya selalu memikirkan dan mencari apakah lagi potongan yang boleh saya masukan agar cukai yang perlu saya bayar adalah seminima mungkin. Taksiran cukai boleh berubah mengikut apa yang diumumkan oleh kerajaan maka semasa membuat taksiran cukai perlulah kita mengambil tahu maklumat cukai semasa.

Pengiraan untuk Zakat bagi saya amat mudah. Hanya 2.5% jumlah keseluruhan pendapatan yang kita ada. Tak berubah sejak dari lebih 1400 tahun dahulu. Jika pendapatan setahun kita 24 ribu.. Zakat yang perlu kita keluarkan hanya RM600 Sahaja.

Enam Ratus??? Terasa banyak ke? Terus terang saya sendiri terasa banyak tetapi inilah dia ujian yang Allah sediakan untuk kita. Terasa banyak itu sebenarnya adalah bisikan syaitan.

Renungi ayat Ini

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ [٢:٢٦٧]

Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.[Al-Baqara 2:267]

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ [٢:٢٦٨]

Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengatahui.[Al-Baqara 2:268]

Selagi kita hidup di dunia ujian tetap ada dan zakat adalah merupakan salah satu ujian yang Allah berikan. Dengan menafkahkan sebahagian harta kita di jalan Allah, Allah memberi keampunan dan kurnianya. Saya sendiri mengalami keadaan ini.

Dengan membayar zakat jiwa kita akan menjadi tenang kerana kita telah menjalankan perintah Allah. Memang fitrah yang Allah jadikan kepada manusia merasa puas dan tenang apabila melakukan sesuati yang baik.

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ [٣٤:٣٩]

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)". Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.[Saba 34:39]

Pengalaman Peribadi

Pada bulan ini saya telah mendapat rezeki lebih kurang 10 kali ganda dari jumlah zakat yang telah saya keluarkan pada Disember tahun lalu. Rezeki itu benar-benar datang dari sumber yang tidak saya jangka. Kebetulan saya memerlukan lebih sedikit wang pada bulan ini dan Alhamdulilah Allah telah mempermudahkan urusan saya.

Benar apa yang dinyatakan dalam Ayat di atas. Allah akan mengantikan apa saja yang kita nafkahkan pada jalannya. Jangan kita fikir nanti hidup kita akan jadi susah jika membayar zakat. Pemberi rezeki adalah Allah. Sebaliknya fikirlah, "Bagaimana caranya untuk aku dapat membayar zakat dengan banyak?" Jika kita berfikiran begini Allah akan tunjukkan jalannya… kita hanya perlu tambahkah sedikit usaha kita untuk menuai rezeki tersebut. Kemudian hendaklah kita bersyukur. Bukan setakat menyebut syukur dimulut atau hati tetapi juga hendaklah dengan tindakan iaitu berzakatlah

Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah… termasuk diri kita sendiri… fikir-fikirkanlah…

Abdul Hamid

http://rabtle.blogspot.com/

28/April/2009