Monday, November 07, 2011

Kaya antara ilusi dan realiti...

Kaya antara Ilusi dan Realiti... 


 

Tajuk Majalah Solusi 37 menarik minat saya kerana secara normal rasanya semua orang mahu menjadi kaya. Dengan kekayaan hidup akan menjadi lebih mudah. Dengan kekayaan kita akan ada kelebihan dalam melakukan ibadah.

Namun apakah kekayaan itu sebenarnya? Utz Pahrol Md Juoi menulis kekayaan boleh dikategorikan dalam 7 pekara berikut.

1. Kaya Dalaman : Memiliki set minda yang positif, harga diri yang tinggi, ketenangan dalaman dan kekuatan spiritual yang tinggi.

2. Kaya Kesihatan : Health is wealth. Tiada gunanya kekayaan dalam pekerjaan, keuntungan dalam perniagaan jika jatuh sakit dalam usaha mengejarnya.

3. Kaya Perhubungan : Jika perhubungan kita dengan keluarga dan orang di sekeliling dalam keadaan baik dan harmoni, kehidupan akan dapat dijalankan dengan lebih baik. Keluarga mesti diutamakan kerana di situlah terkumpulnya orang yang paling kita sayangi.

4. Kaya Legasi : Buatlah sesuatu yang terus hidup setelah kita mati. Itulah yang sering dipesankan oleh orang bijaksana. Jangan sekadar hidup secara biasa-biasa sahaja tetapi berilah impak yang signifikasi yang terus berkekalan dan dikenang sebagai legasi kepada generasi kemudian setelah pemergian kita.

5. Kaya Kerjaya : Kerjaya menjadi sangat penting dalam dunia masa kini. Kerjaya adalah wadah bagi mengeluarkan seluruh potensi diri dan bakat seseorang. Kejayaan dalam kerjaya akan meningkatkan lagi harga diri.

6. Kaya Pengalaman : Jiwa manusia sentiasa dahagakan pengalaman baru. Perasaan ingin tahu dan menimba pengalaman baru akan menimbulkan keseronokkan dan keceriaan dalam hidup. Kita tidak boleh terperangkap dalam rutin hidup yang sama sahaja pada setiap masa. Aktiviti-aktiviti kemanusiaan, sukan, perlancongan dan lain-lain akan memberi kita rasa kekayaan yang sukar untuk digambarkan.

7. Kaya Ekonomi : Wang bukan pekara terpenting dalam hidup, tetapi ia tetap penting untuk menguruskan kehidupan dengan baik. Ia akan memudahkan kita memenuhi keperluan hidup tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Dengan wang, kita boleh membantu meringankan beban dan kesusahan orang lain dan ini akan memberi satu kepuasan dalam hidup.

Inilah 7 elemen yang perlu ada untuk mencapai kekayaan realiti. Tanpa ketujuh-tujuh elemen itu, manusia hanya akan mendapat kekayaan ilusi.

Bagi yang kaya... adakah sebenarnya kita kaya?
Bagi yang miskin... adakah sebenarnya kita miskin?

Kita sebenarnya sudah kaya kerana hidup kita adalah mengikut hukum Allah yang maha besar lagi maha kaya. Hanya kita yang mungkin lupa dan tidak merasai kekayaan yang diberi kerana terlalu mengikut kehendak nafsu. Allah tidak melarang kita mencari kekayaan. Apa juga kehendak kita, kita diberi kuasa dan pilihan untuk mencapainya. Untuk mencapai kekayaan realiti mulakan untuk mencapai kekayaan yang pertama yaitu kekayaan dalaman (hati) kerana tampanya segala kekayaan lain menjadi kurang beerti.

Hayati Ayat-ayat ini dari Surah Ar-Room (30)

Surah Ar-Room, Ayat 36:
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.

Surah Ar-Room, Ayat 37:
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Surah Ar-Room, Ayat 38:
Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah Ar-Room, Ayat 39:
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.

Fikir-fikirkanlah... semoga bermanfaat

Abdul Hamid
http://rabtle.blogspot.com
7 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails